Tiada Tuhan yang patut disembah selain Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Maha Suci dari sifat-sifat kekurangan, pemelihara 'Arasy yang besar dan segala puji bagi Allah, Pemilik sekelian alam.
Selesai mengurus urusan anak, kereta kami terus meluncur ke pusat bandar. Menghafal nama ikan yang aku tak pernah dengar. Ikan Delam...itu yang bondaku pesan. Adikku belikan untuknya tempuhari. Sedap digoreng. Dia memintanya lagi dariku pula. Tiba di pasar, aku bertanyakan ikan itu. Kata penjual ikan, ikan tu macam ikan siakap tetapi payah dapat. Ikan Delah adalah. Mungkin kebetulan dengan adikku yang membelinya.
Aku membeli ikan Delah. Hehehee...penganti ikan Delam. Tapi tak taulah hati orang tua ni sensitif. Dulu dia telefon nak buah Pear Cina. Dengan anakku, dia nak pisang. Dengan adiku, dia nak oren. Tiba kat rumah...semua dia tolak. Tetiba dia kata nak buah anggur. Adusss...bondaku ni agaknya mimpi jadi Cleopatra malam tu agaknya. Mencarilah kita semua di pekan kecil ini. Begitulah kerenah bondaku yang boleh memberi kami pahala jika bersabar dengannya.
Tengah mencari-cari ikan Delam itu, mataku tertumpu dengan satu longgokan makanan laut. Udang Laut. Hepi dan selera makan terbit walaupun tadi dah sepinggan nasi dagang ku perabes. Nak menambat hati bondaku yang kelabu kerana hajat hati tak kesampaian, ku belikan untuknya udang besar ni. Dan belikan untukku juga. Bondaku sekilo. Aku dua kilo. Heheheee.....
Walaupun perjalanan pulang dari rumah bondaku itu jauh tetapi kerana udang laut ini, segala kepenatan hilang ditelan angin. Pantas aku memasaknya di dapur. Lagipun semua bahan-bahannya sudah tersedia ada. Sebelum ku hantar suamiku ke Terminal Bus...udang ini mesti terhidang atas meja tengahari. Seronok tenguk dia makan.
UDANG MASAK SAMBAL
Bahan-Bahannya
1/2 kilo udang
Lada kering yang sudah diblend secukupnya
2 biji bawang besar dihiris
3 biji bawang merah ditumbuk
2 ulas bawang putih ditumbuk
1 inci halia ditumbuk
air asam jawa,garam dan gula sebagai perasa
Cara membuat :
1. Tumiskan kesemua bahan yang ditumis dan dikacau sehingga bangkit bau.
2. Kemudian masukkan bawang besar yang dihiris dan digoreng hingga garing.
3. Baru masukkan lada blended dan kacau sebati.
4. Apabila lada sudah garing atau pecah minyak, masukkan udang.
5. Biarkan seketika hingga air udang keluar.
6. Masukkan secawan air dan didihkan hingga kuahnya sebati.
7. Akhir sekali masukkan garam,air asam jawa dan gula secukup rasa
Tak sempat nak ambil gambar yang elok sikit. Suamiku sudah menunggu di meja makan. Di wajah masing-masing terpancar cahaya kepuasan, menikmati udang laut yang sudah jarang kami jumpa. Jika di Labuan dulu, udang ni adalah hidangan kami di hujung minggu bila anak-anak balik dari asrama. Udang Tempura menjadi menu kami. Kini kerinduan kami terubat dengan kehadiran Udang Laut Masak Sambal.
'Sotong besar bila lagi ya ...Sal?', kata suamiku. Adussss....
No comments:
Post a Comment