Showing posts with label Puding. Show all posts
Showing posts with label Puding. Show all posts

Monday, December 12, 2011

Hidup lebih ceria dengan Puding Jeli Limau Mandarin.


Punyalah susahnya nak buka mata pagi tadi. Cuaca selepas hujan malam menambah dinginnya   kamar tidurku. Tetapi bila teringat urusan  pagi ni....toiiiii!!! Macam spring mataku terbuka. Janji pada bondaku kena tunai. 

Selesai solat, bergegas ke dapur....masukkan puding dalam tupperware. Tengah-tengah buat tu..aku minta tolong maid gosok bajuku. Sedang maidku gosok baju, aku packing cheese kek yang ku janji dengan bondaku pulak. Maid yang mengosok baju, aku panggil semula untuk potong kek lapis legit yang dibawa pulang sebagai ole-ole dia balik dari Indonesia semalam. Mahu dibawa untuk bondaku juga. Lama-lama aku dengan dia saling ketawa, melihat aku yang kelam kabut pepagi hari begini. Nasib baik segala persiapan anakku dan dokumen sudah diberes oleh suamiku. Dia memang banyak membantu...syukran Ya Allah.

Last check...puding, cheese kek, kek lapis legit, kain solat dan dokumen semua ada. Ok..dah boleh bertolak. Half way through. Alamak...kata suamiku. Tertinggal surat untuk ambil kad pengenalan anak. Takpe. Ada hari lain lagi.


Balik....letih kepenatan. Dari pagi tadi sampai rumah jam dua petang. Bergegas ke dapur untuk masak tengahari. Pantas macam lipas kudong. Perut sudah menyanyi lagu keroncong. Hujung minggu sebenarnya aku lebih sibuk dan lebih penat dari hari biasa. Hari tu lah masakan special sikit sebab masak sendiri walaupun nasi goreng. Hari biasa..masakan Timah, pekerja kantin sekolah yang aku tapau. Sedap masakannya. Itu yang buat badanku semakin montel.


Selesai makan, suamiku berehat di ruang tamu. Dari jauh aku tenguk dia tersenguk-senguk, menahan ngantuk. Kekenyangan makan tengahari. Hmmmm...ada cara membangun dan menceriakan matanya itu. Aku buka peti dan deng...deng...ini dia! Puding Jeli Limau Mandarin. Hidup lebih ceria dan matapun terbuka bila menikmati pudingku ini.


Idea Puding Jeli Limau Mandarin ni datang dari leteran suamiku yang tenguk limau Mandarin dalam kabinet tu tak berusik. Lama-lama simpan nanti luput tarikh tu. Mindapun mula berfikir apa nak guna dengan limau Mandarin tu. Tenguk kat rak ada kotak-kotak jeli tersusun dengan pelbagai perisa yang ku sedia kala kecemasan (bila teringin). Hah..tu yang timbul idea. Kena marah baru dapat idea.


Alamak! Siannya lah kalau kekawan aku nak salin resepi ni. Samada cermin mata mereka kena tukar power atau kena pinjam kanta Cina baiki jam. Sori ya kekawan. Nanti ku besarkan sikit gambarnya.


Hah...barulah jelas. Terang dah mata che abangku bila dihidangkan dengan puding tu. Terangguk-angguk  dia bila memakannya. Mungkin angguk tu tanda  setuju dengan hidangan pencuci mulut ini. Hilang dah marah dia...hatiku gembira. Hiduppun lebih ceria.


Terima kasih ya kawan-kawan. Bukan saja Puding Jeli Limau Mandarin ini menceriakan hidupku ini tetapi anda semua turut menceriakan hidupku dengan kedatangan anda, sudi menjenguk blogku yang seperti Lady in Black ini.

So take care n see you in my next N3.
Tadaa....



Sunday, December 11, 2011

Biarpun Bulan Gerhana Tapi Puding Blueberryku tidak...


Semalam rakyat Malaysia berpeluang  menyaksikan gerhana bulan penuh mulai jam 7.34 malam sehingga jam 1.30 pagi. Gerhana dapat dilihat dengan mata kasar mulai jam 8.46 malam. Itu kata Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara, Redzuan Tahar. Tapi di kediamanku ini, bulan diliputi awan tebal. Tentu anakku di sana, sibuk dengan teropong angkasanya. Seronoknya kalau teropong itu berada di sini.

Fenorana alam ini ikut disambut mengikut kepercayaan agama masing-masing. Aku bagaikan tidak percaya bila mendengar bunyi mercun berdentum-dentam diselangi dengan bunyi  paluan gendang. Membakar mercun itu adalah amalan orang Cina yang percaya bulan akan ditelan naga. Moga dengan kebisingan itu, naga itu akan lari. Paluan gendang itu dimainkan oleh orang beragama Hindu. Mereka masih mengamal tradisi kepercayaan mereka masing-masing rupanya.


Masa aku kecil-kecil dulu, arwah datuk aku menakek-nakek batang pokok yang tidak berbuah dengan harapan selepas itu, pokok itu akan berbuah. Orang Melayu ketika itu turut mengendang tin-tin kosong. Maklumlah...masyarakat majmuk yang hidup muhibah. Bila kesedaran Islamik menyusup masuk ke dalam jiwa masing-masing, gerhana bulan ini disambut dengan solat sunat gerhana. Alhamdulillah...

Biarpun bulan gerhana tetapi tidak puding blueberryku. Begitu cantik kemenjadiannya. Aku tersenyum puas. Terima kasih kepada Dapurku Sayang. Oleh kerana aku berhajat untuk memberi sedikit daripada puding ini kepada kawanku yang menempah kek harijadi anaknya, maka aku gandakan kuantiti resepinya. Mudahan rezeki yang ku kongsi ini tidak diberati timbangannya di akhirat nanti.


Fuyooooo....rasanya hebat! Sedappp!!!!! Agar-agarnya lemak berkrim dimakan dengan blueberry yang rasa masam manis. Terangkat. Terima kasih sangat-sangat kepada DjDayang_Jack, sifu onlineku ini. Ku buat dalam dua saiz. Satu besar dan yang lain saiz kecil. Yang besar untuk ibu dan yang saiz kecil untuk orang lain. Hahahahaa....

Yang ini untuk  ibu...



Yang ini untuk anak-anak ibu...

Oh ya...jangan terkejut dengan perubahan warna pada blogku ini. Walaupun puding blueberryku tidak gerhana tetapi blogku yang tergerhana. So see you in my next N3 .... take care.






Friday, December 9, 2011

Woke up this morning with this pudding in mind...


It was early as usual. Very peaceful and quiet. But this time I woke up in the morning with this pudding in my  mind. Apa agaknya jadi dengan pudingku semalam? But deep in my heart, I know it wouldn't tun out well as it should be. My first attempt afterall. Apapun aku akan hadapi walau bagaimana  rupanya sekalipun.

When I first saw it, I simply couldn't resist. What more, it was beautifully captured by its owner. Very photogenic indeed. Its tantalizing look brought quiver to my stomach. I want to try it. I must try it. I told myself many times.

So what happened....alamak lekat pulak kat tepi tu. Akhirnya ...nilah dia rupanya dalam gambar tu. Lapisnya..apa dah jadi? Hahahaa...hasil dua tangan. Sorang letak satu senduk, sorang letak dua. Lagipun..karamelnya tak keras-keras. Nak tak nak..letak ajalah adunan pertama tu kat atas karamel. Apa jadi..bersatulah mereka berdua tu. 


Apapun ku minta izin ya Sri Idayu share resepi tu kat sini. Manalah tahu blogger-blogger yang hebat macam Azlita Aziz, Rima, Che CT, Dayang Jak,Kak Wan dan ramai lagi mahu mencuba puding ini. Teringin pulak nak tenguk mereka ni buat  dan lihat cara they present their pudding. Macam persaingan dalam MasterChef pulak. Sian dierang...

PUDING LAPIS ROTI KARAMEL
Sumber : Rosli Kitchen
By          : Sri Idayu

Bahan-Bahan Karamel
5 sudu besar gula
5 sudu besar air
1/3 cawan air panas

Cara-caranya :
Satukan gula dan air. Masak hingga gula menjadi perang gelap. Selepas itu masukkan air 
panas cepat-cepat dan kacau. kemudian cepat-cepat tuang ke dalam loyang dan ketepikan.

Bahan-Bahan Roti :
4 keping roti
3 biji telur
2 cawan air suam
1 cawan susu cair
1 sudu besar tepung jagung
esen vanila
pewarna

Cara-Caranya:
1. Kisar roti, air suam dan susu. Kemudian masukkan telur, tepung jagung dan esen.
2. Bahagian kepada 3 bahagian dan warnakan.
3. Tuang lapisan pertama atas karamel dan kukus.
4. Bila lapisan pertama sudah masak, masukkan lapisan 2 hingga semua adunan
    itu habis.
5. Sejukkan sebelum keluarkannya dari loyang.


Kemenjadiannya kurang menarik tapi rasanya tetap sedap. Fizikalnya aku akan perbaiki. Aku takkan putus asa. Aku akan cuba lagi sehingga berjaya. Walaupun layernya itu ada tebal, ada nipis...kira-kira macam iman akulah gitu. Bila makanan takde imanku tebal, bila ianya depan mata imanku jadi tipis. Pepatah omputih, 'A waist is a terrible thing to mind.' 

So bon appetit everyone.

Saturday, November 26, 2011

Kenangan Lalu.....Puding Tembikai Susu

Assalamualaikum....
......Selamat menyambut Maal Hijrah diucapkan kepada semua umat Islam di mana sahaja mereka berada. Alhamdulilah. Kita sudah memasuki Tahun Islam yang ke 1433.Moga doa akhir dan awal tahun yang kita panjatkan ke hadrat Allah swt itu diterima hendaknya..
Bermula dengan diri kita sendiri, marilah kita berusaha untuk melakukan penghijrahan. Penghijrahan yang dimaksudkan adalah perubahan sikap dan minda. Kita mulakan perubahan itu dengan diri kita sendiri dan keluarga. Apabila setiap keluarga itu berubah, secara tidak langsung masyarakat itu pun turut berubah.


Agen pengubah sikap dan minda yang paling berpengaruh adalah para ibu. Mereka adalah orang yang terlibat secara langsung dalam sesebuah institusi keluarga. Terdidiknya anak-anak terletak di tangan ibu. Bukan saya menafikan peranan bapa dalam usaha penghijrahan ini. Tetapi bapa adalah raja yang keluar mencari rezeki untuk menyediakan keperluan asas kepada keluarga. Tambahan lagi sifat semulajadi seorang ibu yang pengasih dan penyayang  serta  kelembutan dan belaian kasihsayangnya itu menyentuh naluri anak-anak. Jiwa yang kaya dengan kasihsayang ibu ini mudah dilentur dan dibentuk. Maka unsur nilai-nilai murni akan mudah dan cepat  menyerap ke dalam jiwa yang begini.



Pada entry kali ini saya nak share satu resepi yang menggunakan Honey Dew Melon. Tetapi izinkan saya bercakap tentang penghijrahan sikap dan minda sebagai satu azam Tahun Baru Islam. 

Saya ceritakan dalam bentuk 'case study' sebagai bukti keberkesanan pengaruh ibu dalam didikan anak. Perkahwinan yang atas dasar cinta sama cinta berakhir dengan perpisahan. Isterinya adalah seorang wanita yang cantik. Saya sangat mengagumi wanita ini kerana sudah beranak tiga, badannya macam anak dara. Tetapi yang menyedihkan, dia hanya nampak dirinya daripada keluarga. Suami mengurus keperluan hidup macam orang bujang. Bangun pagi, gosok baju  dan buat sarapan sendiri sedangkan isterinya yang tidak bekerja tidur hingga meninggi hari. Nak kata mengantuk berjaga malam kerana anak, si suaminya yang tersenguk-senguk membuai anak. Dipendekkan cerita jodoh sudah berakhir di situ. Anak-anak tidak menjadi. Seperti ibu,   mereka hanya tau mencantikkan diri.

Image dari Saidaonline

Perkahwinan kali ke dua, lelaki ini dapat dilihat satu perubahan yang besar dalam kehidupannya. Dari seorang lelaki yang tidak terurus menjadi seorang lelaki yang kemas dan segak. Bukan itu sahaja...anak-anaknya cerdik dan petah. Siapa yang bertanggungjawab ke atas perubahan yang istimewa ini. Isterinya.

Isteri yang 3 dalam 1...seorang isteri, ibu dan penjawat awam (betul tak BM saya ni). Pernah di dapurnya tidak ada apa-apa....dia boleh menjadikan lada besar dan bawang menjadi lauk hidangan keluarganya. Dapurnya jarang tak berasap (memang zaman sekarang dapur tak berasap) Dia baca buka cerita untuk anak-anaknya. Bila anaknya ada homework Seni misalnya...dia sama-sama membantu. Rumahnya macam tadika dan dia macam cikgu tadika. Bila semua anak dan suami tidor, barulah dia keluarkan kerja yang perlu disiapkan.  Orangnya sederhana.tetapi didikannya dalam keluarga sangat cantik. Andai semua ibu-ibu seperti dia...alhamdulillah. Bila keluarga terdidik..masyarakat turut terdidik.

Kerja seorang ibu ni memang sangat penat. Tiada rehat melainkan ketika merebahkan kepala ke bantal. Dan yang paling sedih...kerja ibu TIADA CUTI. Hanya Allah swt yang tahu menghargai pengorbanan ibu..iaitu menyediakan pahala yang tidak terhitung banyaknya. Allah menhapuskan dosa-dosa ibu sebanyak rambut yang ada di kepala anak kita jika kita ikhlas menyikat rambut anak dengan belaian dan ciuman kasihsayang.

Panjang dah celoteh saya. Jangan bosan ya ibu-ibu. Jom tenguk apa yang boleh kita kongsi untuk hidangan keluarga di hari cuti begini.




Puding Sagu Tembikai Susu

Bahan-bahannya :
1/2 biji tembikai susu dibuang kulitnya dan diparut kasar-kasar 
1 tin susu cair
2 cawan  sagu biji
2 cawan air
gula secukupnya
sedikit pewarna merah atau sirap.

Cara membuat :
Sagu direndam terlebih dahulu. Kemudian panaskan 2 cawan air di dalam bekas. Masukkan  sagu yang direndam tadi. Masukkan gula ( sekadar manis-manis buah) jika suka. Kacau hingga masak. Kemudian ke tepikan.

Kuah pudingnya :
Rebus 11/2 tin air ( saya ikut sukatan tin susu ). Bila sudah mendidih, kecilkan api dan masukkan susu cair dan gula. Kacau hingga gula larut. Kemudian tutupkan api.

Cara menyediakan :

Di dalam bekas ( ikut idea sendiri) samada dalam mangkuk kecil atau dalam gelas, masukkan sedikit sagu tadi. Kemudian masukkan tembikai susu yang sudah diparut. Akhir sekali masukkan kuahnya. Sejukkan sebelum dimakan. Rasanya? Mendamaikan......


Buah tropika ini sangat berkhasiat. Ianya  baik untuk pengidap kencing manis dan pesakit jantung. Ia juga membantu melawan penyakit kanser - payu dara, usus dan prostate. Banyak lagi khasiatnya. Google aje...dan infonya di hujung jari ibu.


Saya biasa sebut Honey Dew Melon. Tak tau rupanya inilah dia Tembikai Susu. Kalau ini tembikai susu...inilah buah yang dicari-cari selama ini. Kenapa? Sebab inilah dia buah yang selalu arwah ayahanda saya buat untuk anak-anak dia. Dia sagat dengan sudu isinya. Kemudian dia masukkan susu tepung dan air batu. Sedapnya.

Itu adalah hidangan yang tersangatlah istimewa buat kami yang hidup susah ketika itu. Dapatpun kata omputih, Once in a blue moon. Saya mengimbas kenangan lalu yang mencuit hati dalam hidangan yang sama tetapi resepi berbeza. Masa dulu guna tepung Dumex, susu adik. Hahahaha..... Sekarang susu cair Ideal.

AlFatihah buat ayahandaku.
Moga Allah swtnmencucuri rahmat ke atas rohmu 
dan tempatkan dirimu di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.






Thursday, October 27, 2011

Puding epal Longan

Assalamualaikum.....
........sehari dua ni masa saya terikat  dengan tempahan kek. Kesibukan itu membuat bekalan food di dapur berkurangan. Saya perhatikan dah berapa  kali, orang lelaki saya keluar masuk dapur, mengintai sana sini. Freezer tu sudah berapa  kali dibuka dan ditutup. Rasa bersalah bila  dia bertanya boleh tak makan roti dengan jem. Saya bertanya balik untuk siapa. Untuk anak yang tengah berpantang makan tu ke. Katanya untuk diri sendiri. Ketawa besar saya dibuatnya.

Jadi selepas maghrib, saya bertanya apa dia nak buat malam ni. Dia kata nak nonton Tv. So saya pun mintak izin ke dapur. Hai....nak ke dapurpun mintak izin? Mintak iziiiin. Maklum jelah sejak kebelakangan ni selalu dengar ceramah agama. Sayapun mengumpul azam nak cuba tingkatkan diri menjadi isteri mithali. Dah separuh umur baru nak jadi isteri mithali? Selagi nyawa masih ada, peluang untuk men 'upgrade' kan diri sentiasa terbuka.



Inilah dia yang saya buat untuknya. Puding Epal Longan. Selalunya selepas makan sambil berehat di hadapan TV, dessert ini menyempurnakan makan tengaharinya. Maklumlah cuti Deepavali. Dia cuti, kita tak...

Berminat tak dengan resepinya? Tak minat? Tak minat, takpe. Kita letak je kat sini. Manalah tau tetiba je hati berubah. Minat pulak. Iyalah....pantaipun boleh berubah inikan pula hati manusia. Jeling-jelinglah ya..kalau tak minatpun. Heheheee...


Resepinya :
Sumber dari Majalah Sedap

Bahan I
600ml jus epal segera
6gm   serbuk agar-agar
15gm gula pasir
1/2    sudu teh selasih (rendam)

Bahan II
250ml susu cair
6 gm  serbuk agar-agar
50gm gula pasir
2 biji  putih telur
1/8     sudu garam
30gm gula pasir
35gm ceri merah (potong-potong kecil)

Bahan III
250ml susu cair
6gm   serbuk agar-agar
50gm gula pasir
3 titik  pewarna merah muda
1/4 sudu teh esen vanila
2 biji putih telur
1/8 garam
30 gm gula pasir
80gm longan dalam tin, potong 4 bahagian

*** If ibu-ibu nak buat potong-potong puding tu, eloklah 
     kekalkan serbuk agar-agar 6gm sebab dia keras sikit.
     Jika buat dalam gelas, serbuk agar-agar tu dikurangkan
     separuh supaya dia lembut sikit.

Cara membuatnya :
1. Bahan I : rebus jus epal, serbuk agar-agar dan gula pasir
    sambil dikacau sehingga mendidih. Tuangkan setengah
    bahagian ke dalam loyang bersaiz 18x 18x 7cm. Biarkan
    setengah beku. Taburkan selasih.

2. Bahan II : rebus susu cair, serbuk agar-agar dan gula
    pasir sambil dikacau sehingga mendidih. Biarkan suam.

3. Pukul putih telur dan garam sehingga setengah kembang.
    Masukkan gula pasir sambil dipukul sehingga kembang.

4. Tuangkan rebusan agar-agar sedikit demi sedikit sambil
    dipukul dengan kecepatan rendah. Campurkan ceri
    merah. Kacau rata.

5. Tuangkan di atas puding I. Biarkan setengah beku.

6. Bahan III : rebus susu cair, serbuk agar-agar, gula pasir
    dan pewarna merah muda sambil dikacau sehingga
    mendidih. Ketepikan.

7. Pukul putih telur dan garam sehingga setengah kembang.
    Masukkan gula pasir dan esen vanilla sambil dipukul
    kembang. Tuangkan rebusan agar-agar sambil dipukul
    dengan kecepatan yang rendah.

8. Tuangkan di atas bahan II. Taburkan longan.

9. Untuk bahagian terakhir, lapis dengan bahan I yang telah
    dipanaskan dan dicampurkan dengan 1 sudu makan air.
    Bekukan.


Saya kurang pandai makan tanpa sos kastad. Jadi saya memandai menambahkan sos kastad pada puding ni. Jangan ikut saya ya....nanti SEDAP marah.


Dalam majalah Sedap. puding ini dipotong. Tetapi oleh kerana mata orang tua ni kurang jelas, bila potong, bentuknya tak lurus. Jadi saya buat terus dalam gelas. Bagaimana pula kalau Cik Azlita dan Cik Rima kita yang buat puding ni ya? Mereka ni seni orangnya dan hasiltangan mereka halus. Saya sangat mengagumi mereka.

So bolehlah ibu-ibu cuba di hujung minggu nanti....
Selamat mencuba...







Tuesday, October 25, 2011

Roti Choklat Puding Panas

Assalamualaikum....
....tengah buat pa tu? Hmmm....pa lagi hujan-hujan begini, memasing mengulit matalah.

Siapa sangka no? Panas terang benderang, rupanya hujan di tengahari. Pastu dia teduh. Tetiba petir berdentum, kilat menyabung...hujan turun mencurah-curah. Teringat kita kat lagu arwah Sudirman...Hujan. Sedih lagunya kan. Tapi kita tak sempat nak sedih. Bila waktu hujan ni...perut pun minta dipanaskan. Diajaknya kaki ni ke dapur, mengintai apa-apa yang boleh dibuat. Ada roti, susu, choklat, telur.....


Bukalah buku resepi kegemaran saya. Majalah Sedap. Banyak dah resepinya saya  cuba. Yang nak dicuba tengah queueing.....tunggu masa ja.


Hah...ni dia. Tengah-tengah sejuk ni, sedap jugak buat puding panas. Jarang jumpa puding makan panas-panas. Selalunya dimakan sejuk-sejuk. Cubalah. Bahan-bahan semuanya ada.



Resepinya
diambil dari : Majalah Sedap

Bahan :
600ml susu cair choklat ( saya pakai susu segar )
200gm choklat masak hitam
150gm roti tawar, dikisar halus
50gm gula pasir
1/2 sudu teh garam

Bahan topping :
1 sudu makan aising tepung untuk taburan

Cara membuatnya :
1. Panaskan susu. Matikan api.
    Masukkan potongan choklat. Kacau sehingga larut.
2. Campuran bahan kisar roti tawar, gula pasir dan garam.
    Kacau rata.
3. Tuang campuran susu sedikit demi sedikit sambil dikacau
    rata.
4. Tuang ke dalam mangkuk tahan panaskecil yang telah
    disapu marjerin.
5. Bakar selama 25 minit dengan suhu ketuhar 180 Celcius
    sehingga masak.
6. Hidangkan panas dengan taburan gula aising.


Apa rasa? Saya punya ni terkeras sini. Silap timing. Masa bakar 25 minit. Mata nenek nampak 35 so setting 35 minitlah. Hahahaa...tapi bila dia masak secukupnya, ia lembut, berkrim, rasa choklat. Aising tepung tu yang melengkapkan rasa. Sedappp....

Tapi kasihan krew saya yang kecik tu. Diarahkan angkat situ dan sini untuk mendapatkan pencahayaannya. Pengarahnya baru nak terjun ke bidang perfileman. Sama-sama mentah dalam bidang ni. Apapun silalah nonton ya...filem terbaru ni.






Thursday, October 6, 2011

Puding Roti Marble

Assalamualaikum.....salam 1 Malaysia

......jika doktor periksa tekanan darah saya pagi tadi tentu die terus bagi saya cuti dan rehat tanpa diminta. Pada ketika tu, kalau disuruh tebang pokok kelapa sawit, terang benderang ladang tu saya kerjakan. 

.....segala disorok jauh-jauh dari penglihatan manusia. Bibir tersenyum, hati berdarah. Terlintas di kepala,  kata-kata yang dikirim oleh anakku. Ketika itu dia di England. Sering hantar email buat saya di sini. Dalam satu email tu...dia berkata....usah kesali sesuatu pertemuan itu walaupun orang itu hanya tahu menyakiti kita kerana pertemuan mungkin diatur untuk kita mengenali manusia sebegitu supaya kita menjadi lebih manusia.

......pepatah kata anak perempuan sulung saya pula.....usah bersedih jika ada kawan yang sedikit tetapi asalkan yang sikit itu kawan berkualiti. Untuk melarikan  perasaan itu jauh-jauh,sayapun berjalan-jalan petang tu. Pergi menziarahi dapur Cik Hana. Puding Roti Marblenya, memikat hati saya untuk mencuba.

Pergi ke dapur...check sana check sini. Semua bahan ada. So apa lagi. Berkaryalah. Kegundahanpun hilang. Sejak-sejak saya berkecimpung dengan hobi ni, senang hati anak-anak saya. Diorang tau apa ibu dia buat ketika lapang. Cuma orang lelaki sayalah yang risau, orang perempuan dia semakin montel. Anak bujang sayapun sanggup nak belikan ibu dia Herbalife.

Itu tanda mereka sayang dan ambil berat dengan kesihatan saya. Saya pula ambil berat pemakanan mereka. Ni memasing nak balik, saya dah mula merancang menu apa nak dihidangkan di meja makan. Breakfast, lunch, dinner serta dessertnya.

Sebelum saya sibuk dengan mereka....copy resepi Cik Hana ni.

Puding Roti  Marble

*4 keping roti
* 2 biji telur
* 1/2 cawan susu pekat
* 170 ml susu cair
* 8 gm serbuk agar-agar
* 1/2 cawan gula
* 2 sudu besar butter (cairkan)
* 31/2 cawan air
* 2 sudu besar serbuk koko
  atau choklat emulco

Cara membuatnya :
Didihkan 3 cawan air, agar dab gula dalam periuk.
Blend roti, telur, susu pekat, susu cair dan baki air, 1/2 cawan.
Masukkan ke dalam periuk agar-agar yang sudah didih.

Masukkan butter dan kacau rata sampai mendidih.
Bahagikan kepada 2 bahagian, satu warna asal dan satu warna koko. Kacau cepat-cepat.
Tuang ke dalam loyang berselang-seli. 2 sudu warna asal kemudian 2 warna adunan koko. Marblekannya hingga habis.


Saya ingatkan nak buat sos kastad untuk puding ni. Saya jenis suka berkuah kastad. Kurang gemar yang begitu saja. Mesti nak ada sos dan buah-buahan campur. Tidak kiralah yang segera atau yang segar. Tapi nampaknya macam tak sempat kuah kastad saya tu siap. Anak saya cucuk dengan garpu, bahagian yang dah berpotong tu, bawa ke depan TV dan MAKANN!







Puding Roti Karamel


Assalamulaikum....
......asyik resepi roti je. Heheheee....janganlah jemu dengan saya ya? Hanya nak bagi idea untuk pelbagaikan  roti yang mungkin tak habis dimakan. Iyalah...daripada terbiar berfungus. Abes bahasa melayu, diorangputihkan. 

Anak bongsu saya ni kurus kering orangnya. Sejak berada di Tahun 6 ni...sudah pandai lapar dan mencari makanan di dapur. Kalau tidak, bergaduh dulu sebelum nak boleh dia makan. Kekadang ditelan-telannya saja nasi putih tu, bila dipaksa makan. Sakit hati dibuatnya. Kita tak maulah orang kata anak kita tak cukup makan kan? Maklumlah mulut orang, anak gemuk salah, anak kuruspun salah. Apatah lagi, anak kurus menegak macam pokok kelapa, maknya pulak macam pokok kelapa sawit. Nanti dituduh mendera anak pulak. Hehehee...


Dia suka sangat puding roti yang saya buat baru-baru ni. Bila diminta buatkan lagi, saya pun cepat-cepat intai-intai lagi dapur orang. Nak cari variasi puding roti. Saja-saja nak cuba satu kelainan. Biasanya dapur Cik Ita yang saya suka jengah. Hebat sungguh wanita ni. Kagum sangat dengan dia. Dahlah cantik dan slim. Hebat pula di dapur. Hasil tangan dia berseni. Istimewa anugerah Allah buat dia ni.

So saya mencuba resepi Puding Roti Karamel dia.

Resepinya: 
    *  3 sudu gula pasir utk buat gula hangus
    *  8 kpg roti di carik2 atau potong kecil2
    * 1 tin susu pekat manis
    * 1 tin susu UHT (pakai sukatan tin susu pekat manis tadi) klu tak ada susu UHT susu cair pun boleh
     *  majerin - sapu pd roti sblm roti di potong
     * 5 biji telur
     * 2 sudu perisa vanila (pakai tutup btl vanila pon blh)
     *  nenas dlm tin di potong kiub ( saya pakai buah-buahan campuran sebab ada baki sikit )
     *  ceri hijau n merah
     *  sedikit kismis

"Cara Cik Azlita Aziz buat :"
Tabur gula dlm loyang ( ini adalah proses untuk membuat gula hangus ) dan letak atas dapur bila dah cair biarkan sebentar.Pukul semua bahan kecuali roti, nenas, chery n kismis. Pukul dengan perlahan sahaja jangan sampai berbuih.Masukkan sedikit dlm loyang gula hangus td selepas tu susun roti, taburkan nenas, ceri n kismis kemudian masukkan lagi bahan tadi dan ulang hingga habis.  Biarkan sekejap hingga roti dah serap dan bolehlah mula mengukus.  Kukus selama 45 minit.Sesudah puding  masak biarkan sejuk sebentar. Akhir sekali masukkan dlm peti ais.Puding ni sedap sekali jika dimakan bersama caremel sos ataupun castard sos. Boleh dimakan ketika sejuk atau pun panas. Cuma jika panas susah sikit nak keluarkan dari loyang alatnyer kena korek pakai sudu aje le...


Ni lah  puding roti karamel visi saya. Kurang menarik tapi lembut dan sedap.
Cubalah...manelah tau hasil anda lebih baik dari saya.