Bangun pagi, kemas tempat tidur. Kelambu putih diselak, dilipat dan digulung sebelum disimpan. Walaupun kelambu itu tidak payah dibuat begitu kerana katilku bertiang empat tetapi ibuku tetap suruh buat seperti mana yang dimintanya. Jika katil itu ada sekarang ni kira barang antiklah.
Bangun pagi merupakan rutin yang tidak pernah dibantah. Lambat bangun, basahlah badan jawapnya. Disiram air dan dipukul dengan bantal. Berdegung kepala seketika tengah sedap-sedap tidur dibuat begitu. Sebab itulah sampai sekarang, aku tak pandai bangun lewat, berlengkar atas katil macam ular sawa kekenyangan.
Bangun pagi, tugas selepas itu buat sarapan. Adik beradik ramai. Kena masak sarapan yang muai. Muai? Tentu ada yang tak faham muai tu apa. Maknanya banyak. Sarapan yang paling muai buat kami yang ramai ni..cekodok. Selalunya cekodok bawang aje. Kalau bapak dapat gaji, barulah cekodok ikan bilis. Hahahaa....boleh ketawa sekarang ni bila mengenang nostalgia silam.
CEKODOK IKAN BILIS
Bahannya:
500gm Tepung gandum
1 biji Bawang besar didadu
1 kiub ikan bilis
1 mangkuk kecil ikan bilis
air suam secukupnya, dibancuh dengan sedikit garam
Cara membuat :
Masukkan semua sekali dalam mangkuk besar dan kacau dengan air
suam bercampur garam hingga adunan menjadi sebati. Kemudian goreng
dengan minyak secukupnya.
Cekodok ni boleh juga dimasukkan sikit daun bawang jika suka. Ada yang buat macam lempeng, jadi bila digoreng ia jadi crispy. Saya pakai sudu sebab dah terbiasa. Dulu..bapa saudarapun serumah, bila ku buat cekodok atau jemput-jemput, dia tak makan kalau aku goreng pakai tangan.
Selalunya bila Disember datang, ada sesuatu rasa menjengah di hatiku. Nostalgia silampun menjelma mengamit rindu. Di kala itu, hujan tiada henti, kain baju bersalai. Adik lelakiku tiada baju, gaun akulah yang dipakainya. Hahahahaaa.....
No comments:
Post a Comment