Saturday, October 1, 2011

Jelly Limau Kasturi

Assalamualaikum.....
Bertemu kembali di hujung minggu. Cuaca di luar sungguh cerah. Tenang dan tenteram. Pintu utama dikuak luas. Bunyi desiran air jatuh ke dalam kolam begitu mendamaikan. Dalam keheningan pagi begini, baru jelas pandangan mata melihat ikan-ikan berenang. Alhamdulilah...ketenangan ini kurniaan Allah swt.

Saki-baki keletihan semalam masih terasa. Walaupun semalam, sepetang mengulit mimpi di siang hari. Nasib baik tidak mengigau, bangun dan mandi serta bersiap pergi ke sekolah macam anak saya. Heheheee....

Pagi ni, sementara diorang berkebun di luar, diri ini sibuk di dapur, menyediakan nasi lemak halba kukus. Hari ini, ahli keluarga akan menikmatinya di atas daun pisang. Hmmmm....nyaman!

Tapi hari ni, hanya nak share resepi minuman. Sebenarnya resepi ni sejenis jelly. Saya pernah menikmatinya semasa majlis perkahwinan anak perempuan saya. Katerer tu sediakan jelly ini sebagai dessert para tetamu. Dia ada memberi saya resepi serta bahan jelly segera  untuk saya cuba. Mahal juga jelly segera tu rupanya.

Bila intai-intai dapur Cik Ita, terjumpa resepi jelly limau kasturi ni. So hari ni saya nak cubalah. Almaklum di luar tu, tengah berpanas pagi. Tentu sejuk tekaknya  bila  disirami dengan jelly dingin ni. Mudahan, sejuk pandangan matanya melihat saya. Hihihiiii...Tambahan lagi, kawan saya yang berkebun limau kasturi ni memberi saya seplastik besar. Baiknya budi kawan saya ni. Moga Allah swt memperluaskan rezekinya. Amin.


Jelly Limau Kasturi
resepi diambil dari Azlita Aziz
tetapi diubahsuai dan ditokoktambah mengikut selera saya pula.

Agar-agarnya :

Untuk buat agar-agarnya, saya rebus satu paket serbuk agar-agar putih dengan 3 liter air. Bila sudah hancur, masukkan ke dalam bekas dan sejukkkan. Bila sudah sejuk, carik-carikan atau dipotong dadu.

Minumannya :

20 biji limau kasturi
6 biji asam masin
1 kg gula pasir
1 tin buah-buahan campuran
Beberapa ketul ais
strawberry untuk hiasan

Limau kasturi dibelah dua dan diperah untuk mendapatkan airnya. Buang bijinya. Masukkan asam masin ke dalam air perahan limau tadi. Kemudian masukkan air gula ( gula pasir yang dimasak dengan 3 liter air ). Selepas itu masukkan buah-buahan campuran dan agar-agar yang sudah dihancur atau didadukan. Akhir sekali masukkan beberapa ketul ais.


Masukkan jelly limau tadi ke dalam bekas minuman. Tak kiralah bentuk dan saiznya bekas tu. Hiasilah dengan potongan buah strawberry. Boleh juga dipotong dadu dan dimasukkan sekali ke dalam jelly.


Rasanya? Sama dengan dessert jelly yang dihidangkan kepada tetamu majlis perkahwinan anak saya tu. Jadi jika saya nak menghidangkan jelly ini kepada tetamu yang bertandang ke rumah saya, tidak perlu risau lagi. Sudah ada resepi minuman yang segar lagi sedap. Bila minum, sejuk kepala dibuatnya. Pemandangan terasa seperti di kutub utara.


Terima kasih yang tidak terhingga kepada kawan saya yang memberi limau ini dengan banyaknya. Free lagi tu. Saya teringat pada suatu ketika, saya dibawa ke kebun limaunya dan berpeluang memetik terus dari pokoknya. Pengalaman yang indah lagi menyeronokkan. Macam memetik epal dari ladangnya gitu!






No comments:

Post a Comment