Tuesday, September 13, 2011

Caramel Puding



Salam Aidil Fitri. Hari ini hari raya ke berapa dah ya?  Tentunya masih ramai  lagi yang beraya. Banyak lagi rumah-rumah yang belum dikunjungi. Maklumlah ketika inilah merupakan masa yang paling sesuai untuk mengeratkan hubungan siratulrahim ataupun menyambung mana-mana tali yang terputus. Heheheee.. Apatah lagi ada lagi baju raya yang belum digayakan.

Tetapi bagi ibu-ibu yang punya anak yang menduduki peperiksaan UPSR , rasanya kurang beraya kerana debaran menduduki peperiksaan tersebut lebih dirasai oleh si ibu dari anaknya sendiri. Anaknya pulak lagi tertekan. Di kala orang beraya, dia terpaksa mengulangkaji dan membuat persediaan yang rapi.

Sayapun salah seorang dari ibu-ibu yang berdebar lebih dari anak sendiri. Si anaknya relax-relax je. Kata cikgunya, mungkin dia ni anak bongsu. Manja. Iyake? Tapi suara saya saja yang mampu buat dia bertindak pantas bila disuruh buat sesuatu. Iyalah cikgu. Nak kata apa. Sebab sayapun cikgu juga. Itulah susahnya..takkan cikgu nak lawan cakap cikgu. Kena supportivelah kan.

Resepi dessert kali ni resepi puding biasa aje. Semua orang boleh buat. Puding ini kegemaran anak lelaki saya ni. Tapi dia sangat tak suka dengan puding ni bila terbau telurnya. Selalunya memang begitulah baunya kalau kita buat maupun beli. Walaupun dibuang pusat telur tu, baunya tetap ada.

Bila dia sambung belajar ke 'States', dia mula belajar buat sendiri. Rupanya di tempat dia ni, susah sikit nak jumpa yang halal. Kalau nak beli ayam, terpaksa sewa kereta, beli ayam di Chicago. Lain pulak dengan dua orang anak saya yang belajar di UK. Rupanya di London tu, banyak makanan Muslim. Si ibu ni manelah tau, tak pernah jejak kaki ke sana. Hanya tau risau dan bimbang aja...anak-anak makan apa. 

So bila dia balik ni, saya tak sabar dah nak belajar buat puding karamel yang kurang bau telurnya. Saya suka sangat puding ni. Saya ni sebenarnya kata orang putih, "sweet tooth." "Gigi manis" kalau diterjemahkan. Hahahahaa... Yang paling suka suami saya. Sampai ration orang lain pun dia kebas. Lupa yang kita  dah tua begini kena jaga gula.


Bahan-bahannya :
450 ml susu whole milk
150 ml creme
120 gula pasir
4 biji telur
1 biji kuning telur
serbuk vanila

Cara saya buat :
Mula-mula saya rebuskan dulu susu whole milk tu dengan creme sampai keluar buih di tepi periuk. Saya masukkan sedikit serbuk vanila. Serbuk vanila ni lebih sedap dari vanila cecair dan ia membantu menghilangkan bau hanyir telur. Apabila susu tu dah mendidih, tutupkan api dan biarkan ia sejuk.

Lepas tu saya jadi tukang tenguk. Anak lelaki saya masukkan 4 biji telur, 1 biji kuning telur sahaja, gula, serbuk vanila dan susu rebus tadi ke dalam bekas. Dipukul sederhana. Kalau tak nanti, puding tu berlubang-lubang di tepinya. Biarkan sebentar sementara buat karamelnya.

Selepas tu, dia buat karamelnya menggunakan 250ml gula. Kalau nak cantik karamelnya tu, kata sifu saya pakai gula pasir prai. Bila gula mencair dan menjadi keemasan, terus tutupkan api. 

Tuangkan gula hangus tadi atau karamel tu ke dalam bekas-bekas puding tu. Hati-hati kerana cepat terasa panas bila  karamel tu dicurah ke dalamnya. Kemudian kena pusing-pusingkan acuan tu supaya karamel tu bersalut di dinding acuan. 

Lepas tu masukkan adunan  tadi ke dalam acuan. Gunakan lighter untuk membuang buih-buih angin yang ada di permukaan adunan. Kemudian bakar menggunakan cara 'bain marie' iaitu letakkan acuan itu di dalam bekas yang ada air. Bakar selama 45 minit.


Ni lah caranya untuk hilangkan buih-buih angin yang ada di permukaan adunan.


Inilah hasil tangan saya pulak. Kurang cantik tapi masih sedap. Kalau tak cantikpun  jangan cepat berputus asa. Cuba lagi sehingga dapat hasil satu puding caramel yang cantik dan licin. Kekadang kawan kita buat menjadi. Bila tiba giliran kita tak menjadi. Pada ketika itu sedih sangat tapi jangan cepat mengalah. Sesuatu kejayaan itu bermula dengan cubaan dan kesilapan. So cuba dan cuba lagi...sehingga menjadi.













No comments:

Post a Comment