Assalamualaikum...
....ketika itu saya baru sahaja membuka tudung. Melabuhkan ponggong di sofa melepas lelah dari majlis kenduri kawin sekaligus menghantar kek kawin ke majlis tersebut.
Tetamu yang datang tanpa diundang tengahari itu hampir membuat jantung saya berhenti berdenyut. Tubuh saya terasa bergetar. Apa berita buruk yang dibawa mereka ini yang datang dari jauh. Kesabaran saya tidak dapat dikawal bila mereka mengatur kata. Pantas saya memintas cakap mereka. Minta mereka berterus terang saja.
Astagfirullah...apa dah jadi? Perkara yang saya anggap remeh ini menjadi begitu serius. Tak terfikir begini rupa jadinya. Mujur di kala itu semua ada di rumah. Maha Suci Allah...yang memudahkan urusan. Segera kami bergegas menuju ke destinasi sebelum menjelang malam.
Fikiran berserabut. Macam-macam ada dalam fikiran ini. Bertawakkal dan yakin Allah berada di sisi seorang ibu yang tidak putus-putus berdoa dan berzikir. Moga anakku selamat.
Lalu ini sahajalah yang mampu dimasak. Tak lalu nak makan. Perut terasa kenyang, dahagapun hilang. Inilah juga resepi ketika mengandungkan dia.
Resepinya:
4 ekor ikan cencaru, dibuang perut dan dibersihkan serta digoreng tanpa garam.
Bahan-bahannya:
3 biji lada merah dan hijau ( saya pakai lada kecil)
1 biji bawang besar (saya tak pakai aritu, terlupa)
3 biji tomato
1 biji timun
2 rimbun daun salad
sedikit kicap dan tomato sos
Cara membuat :
Di atas pinggan bujur atau yang besar, susun daun salad di sekelilingnya. Kemudian letakkan ikan yang telah digoreng di atasnya. Siramkan sedikit dengan minyak ikan. Taburkan lada dan bawang yang sudah dimayang. Susun tomato dan timun disekeliling ikan. Akhir sekali siram kicap di atas ikan disusuli dengan tomato sos.
Simple tapi menyelerakan jika dimakan panas-panas. Resepi inilah sahaja yang anak-anak saya makan jika ikan cencaru. Mereka sudah jemu dengan ikan ni sebab di asrama inilah ikan yang mereka makan. Dimasak sop lagi. Mereka panggil ikan ni ikan jaket sebab dia pakai baju jaket. Hahahaa...
Lafaz cinta ini adakalanya seperti mengukirnya di pasir pantai. Datang ombak hilanglah ia. Begitulah yang berlaku pada anak saya. Hilang arah bila putus cinta yang disemai selama dua tahun.Tubuh sasanya yang sering diminta membantu ibu yang kudrat sudah berkurangan ini menjadi lembut bila cinta hatinya diragut oleh orang lain. Menangis di ribaan saya macam anak kecil. Hati ibu menjadi hiba.
Tiga hari di sisi saya...setiap detik dan ketika saya perhatikan dia. Duduk melihat dia menangis. Setia mendengar keluhan dan rintihan hatinya Dalam hati, doa tidak putus-putus. Moga segala yang negatif tidak berlaku. Hati ibu yang mana tidak rungsing bila melihat nota-nota kecil serta sms ringkas yang pelik-pelik dihantar ke saya.
Wahai anakku...redhailah perpisahan ini. Sesungguhnya ada hikmah dan nikmat yang tersembunyi. Maafkan dia tidak mampu berlaku setia kerana dia hanyalah manusia biasa.
Bangkitlah dan kutip sisa-sisa semangat yang ada. Bangun dan teruskan hidup kerana masa depanmu itu lebih penting. Buktikan kehebatanmu...bahawa tanpa dia, kamu bisa bernafas lagi. Masih ramai orang yang menyayangimu walaupun tidak setanding cinta dia. Ibuabah, abangkakak serta adik masih ada. Abang dan kakak tidak putus-putus bersms bertanya khabarnya. Itu tanda mereka sayang...sangat sayang.
Pandang wajah ibu...cinta dan kasihsayang ibu membawa rahmat dan berkat. Moga dengan rahmat dan berkat itu Allah swt akan menghantar padamu seorang isteri yang solehah. Amin.
Ku bertawakkal pada mu Ya Allah. Moga Kau sentiasa melindungi anakku di sana.
No comments:
Post a Comment