Assalamualaikum....
....ketika saya mengarang entry saya ini, hujan sedang turun mencurah-curah. Saya sempat merakam beberapa shot suasana yang sungguh indah lagi rahmat ini. Cuma terkilannya, kamera di tangan saya ini tidak cukup canggih untuk merakam secara 'sharp' rintik-rintik hujan itu. Tambahan lagi saya juga bukanlah pro dalam bidang fotografi.
Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah luahan perasaan saya yang mungkin sama dengan ibu-ibu di luar sana. Ketika pensyarah saya menyerahkan kembali folio saya, sempat dia mendoakan moga saya berjaya memiliki rumah impian saya. Namun hingga ke hari ini impian saya itu kekal dalam folio bersama dengan lakaran pelannya.
Terkilan? Dulu ya...saya sering rasa sedih bila melihat orang lain mampu memiliki rumah impian mereka. Suatu hari, bagai mahu menjerit bila melihat di kaca TV sebuah rumah di Pasir Gudang mempunyai ciri-ciri 'sebiji' lakaran pelan saya.
Namun bila angin dakwah hasil ceramah ustaz dan ustazah, kesedaran agama perlahan-lahan menyusup ke dalam jiwa saya. Lalu saya akur dengan segala anugerah Allah buat saya. Setiap kali saya melihat sesebuah rumah yang indah, saya akan berkata, 'Masya Allah. Lahaulawalaquwataillabillah.'
Jika ada ibu-ibu yang mempunyai angan-angan seperti saya, usah berduka. Kita masih boleh lagi mencipta syurga dunia dengan rumah yang kita ada sekarang. Biarpun rumah kita itu rumah teres, pangsapuri, flat mahupun rumah setinggan. Yang pasti kebersihan itu paling utama. Setiap sudut dan ruang rumahnya itu bersih, kemas dan tersusun. Tidak perlu perabot mahal, hiasan berjenama dan ruang tamu yang gah untuk mencipta keharmonian dan ketenangan. Yang murahpun sudah memadai kerana yang pentingnya kreativiti.
Biarpun halaman saya kecil tetapi burung merpati ini rajin bertandang sekaligus melengkapkan landskaping saya. |
Elemen yang paling murah untuk cantikkan rumah kita adalah pokok, tidak kira samada berdaun hijau atau berbunga. Petua nenek saya......bagi kita yang ada anak dara mesti ada pokok berbunga di halaman rumah. Makna petua itu, anak dara cepat disunting orang. Hehehee...anak dara saya sibuk kat hospital..camne?
Bunga mawar atau rose menjadi pilihan bagi pencinta taman. Ia menjadi penyeri ....menangkap perhatian orang kepadanya. Tetapi bukan semua orang pandai menjaga bunga ini. Sejenis penyakit kulat di batangnya sekaligus boleh mematikan pokok tersebut. Ibu saya panggil kulat itu, benah. Beliau mengajar saya menggunakan air tembakau untuk membunuh kulat itu. Selain itu, kumbang juga merupakan musuh mawar yang datang pada waktu malam. Ibu saya selalu keluar malam-malam untuk menghalau kumbang durjana itu. Sejenis air busuk yang boleh didapati di kedai pertanian disembur pada pokok ini.
Untuk menyuburkannya, saya tanamkan bawang putih di dalam pasu rose tadi. Ini adalah petua jiran saya. Manakala anak saya menghancurkan kulit telur dan taburkan di sekeliling pokok tersebut. Buktinya pokoknya segar dan sentiasa berbunga.
Pepatah kata orang lelaki saya...tanah sekangkang kera. Maka atas sebidang tanah seluas itu, saya berkarya bukan untuk pameran di galeri awam tetapi cukup buat hiasan di dada hati saya.
Pondok buruk di tepi sawah,
Walau kecil nampaknya indah,
Laman kecil di tepi rumah,
Walaupun kecil pandangannya indah.
Selamat berkarya di taman puan.
Jumpa lagi di lain entry.
No comments:
Post a Comment