Thursday, November 24, 2011

Tau Foo Fa Segera


Assalamualaikum....
.....tentunya ibu-ibu tengah sibuk melayani anak-anak tika ini. Riuh rendahlah rumah tu dibuat mereka. Maklumlah cuti sekolah sudah bermula.

....tetapi cikgu-cikgu belum bercuti lagi. Sibuk bermesyuarat. Bermuhasabah tentang sejauh mana amanah dan tanggungjawab yang telah ditunaikan pada sepanjang tahun 2011. Post-mortem akan dibuat pada setiap unit pentadbiran samada kurikulum, sahsiah mahupun kokurikulum. Guru-guru akan bermuzakarah, memperkukuhkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan agar prestasi sekolah dapat ditingkatkan pada tahun 2012.

Itu bermakna di sepanjang cuti sekolah ini, guru seperti murid-murid juga ada bekalan kerja yang perlu dibuat. Cuti, cuti juga tetapi bila sekolah dibuka persediaan 2012 dikehendaki siap. Begitulah dunia pendidikan. Hanya mereka yang terjun ke dalam bidang ini tahu perit getir cabaran dalam mendidik anak bangsa.



Sedikit masa dulu...ibubapa menerima bantuan khas RM100 untuk seorang anak. Tujuan kerajaan memberi bantuan tersebut adalah untuk meringankan bebanan ibubapa dengan persediaan kelengkapan sekolah anak. Jika anak kita 4 orang, bermakna kita dapat RM400. Dengan RM100 itu..untuk membeli uniform sekolah sudah lepas. Lain lah kalau hendak membeli uniform dan kasut yang berjenama. 


Tetapi sayangnya dengan duit itu, ada ibubapa bercadang hendak pergi bercuti ke Langkawi. Ada pula yang hendak membeli pinggan mangkuk jenama Correll. Ada sampai bergaduh suami isteri hanya kerana duit RM100. Malunya kita dengan bangsa asing. Orang kita kena berhijrah...maklumlah dengan kedatangan Maal Hijrah ni.


Sepatutnya dengan bantuan khas itu, kita beli buku rujukan dan latihan buat anak-anak kita. Cuti persekolahan yang panjang ini tidaklah dihabiskan dengan bermain sahaja. Persediaan untuk kelas baru itu sepatutnya didedahkan awal dengan menggalakkan mereka membaca buku rujukan tersebut. Bila masuk sahaja hari pertama, anak kita akan mudah memahami dan menerima pelajaran baru kerana mereka sudah membacanya awal lagi.



Cuti begini elok juga sesekali kita buatkan Tau Foo Fa untuk anak kita. Bagus juga untuk ibu mengandung. Tau Foo Fa saya ni yang segera dan simple. Kalau nak sedap sikit, air soya tu buat sendiri. Masa anak saya kecil-kecil dulu, selalu juga buat air ni. Pekat dan segar.

Tau Foo Fa Segera
Sumber  : Matbahna Al Arabi
By  : Lydia Honey

Bahan :
4 cawan air soya
1/2 cawan air ( saya buat 1 cawan )
6gm agar-agar serbuk
sedikit esen vanila

Cara membuatnya:
1.  Panaskan air soya hingga mendidih.
2.  Dalam bekas yang berasingan, panaskan air dan masukkan serbuk agar-agar.
     Masak hingga agar-agar larut.
3. Apabila agar-agar sudah larut, masukkan air soya dan esen vanila.
4. Tuangkan ke dalam bekas dan sejukkan.

Air gula
Bahan-bahannya:
300gm gula kabung
100gm gula pasir
250ml air
2 helai daun pandan

Masakkan kesemuanya di atas api dan kacau hingga gula larut. Biarkan ia mendidih dan 
kemudian biarkan ia sejuk sebelum dimasukkan ke dalam bekas Tau Foo Fa.



Bagaimana buat Air Soya 
Sumber : Raja Adsense. Com


Bahan-bahannya :
2 kilo kacang soya
Gula secukupnya
Krimer (optional)


Cara membuatnya :
1.  Rendam 1/4 kacang soya dengan 3/4 air.
     Rendam selama 4 jam.
2. Selepas itu kacang soya ditos dan dikisar. Gunakan nisbah 1:10 
    1 bahagian soya 10 bahagian air iaitu jika 100gm soya, 1 liter air
3.  Air soya yang dikisar kemudian ditapis dengan kain putih.
4.  Air soya yang ditapis itu dimasak dengan gula sehingga mengelegak.
     Jika suka boleh masukkan krimer untuk menambah sedapnya.


Jadi bila dah dapat air soya buat sendiri..bolehlah buat Tau Foo Fa segera. Lebih berperisa lagi segar.



AIr soya ini memang banyak khasiatnya. Ibu-ibu boleh dapatkan maklumat itu di internet. Dengan adanya teknologi IT ni...maklumat sudah berada di hujung jari.

Tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini iaitu bagi ibu-ibu yang mengandung jika inginkan anak berkulit putih gebu lagi bersih...rajin-rajinlah minum kacang soya. Saya sudah mengalaminya sendiri.

Hingga berjumpa lagi di lain entry.
Rajin-rajin ke dapur.

No comments:

Post a Comment