Friday, August 24, 2012

Sukar sungguh memiliki syurgaMu, Wahai Allah.




           Betapa sukarnya memiliki syurgaMu, Wahai ALlah. Ketaatan padaMu itulah tebusannya. Mudah bunyinya tetapi aduhhhh...sukar sungguh untuk membuatnya. 

         Jaminan syurga bagi kaum perempuan, ialah ketaatannya pada suami. Berapa ramai kita yang sanggup taat pada suami dalam zaman langkah perempuan sederap dengan lelaki?  Apatah lagi kalau pangkat dan statusnya lebih tinggi dari suami. Kalau pendapatan isteri melebihi suami.  Kata Ustaz Azhar Idrus, suami beri nafkah RM1000 kepada isteri, isteri beri balik pada suami RM2000. Jika  di pejabat, orang bawahan kita lelaki..idea dan pendapat kita digunapakai, tiba-tiba balik rumah kena tunduk pada suami. Aduhhh.

      Walaupun diriku ini, pangkat dan status lebih rendah dari suami. Pendapatanpun lebih suami dari aku. Idea dan fikiran suami lebih boleh digunapakai dan tempat rujukanku. Umur suami lebih jauh dari usiaku sendiri. Tapi masih sukar untuk aku berlaku taat padanya. Hendak-hendak bila ada sesuatu yang bertentangan pendapat. Masa itu almari yang besarpun mampu aku alihkan sendiri. Kekuatan yang aku perolehi hasil nafsu yang memberontak bila keinginanku tidak diizininya. Biarpun duit yang hendak dikeluarkan itu duit diriku sendiri. Ya Allah...sukar sungguh mendidik hati ini untuk tunduk pada suami. Menangis aku ada ketikanya menadah tangan memohon bantuanMu.

       Tetapi aku pernah melihat sendiri, ketaatan seorang doktor perempuan. Di klinik, dia seorang doktor, di rumah, dia hanya surirumah. Wajah kedoktorannya hilang, yang ada di depan mataku, seorang surirumah yang meghidang air kepada tetamunya dengan sopan santun seorang isteri. Ibu mertua mana dan suami mana yang tidak sejuk mata memandang.


        Syurga seorang lelaki adalah pada ibunya. Mudah juga bunyinya kerana ibu bukan orang asing dalam hidupnya. Ibu adalah orang pertama yang dia kenal sebaik sahaja lahir ke dunia. AIr tangan ibulah yang membesarkannya. Masakan tidak mampu memiliki syurga untuk taat pada ibu.

        Jika sebegitu mudahnya seorang lelaki masuk syurga kerana ibunya, masakan seorang sahabat nabi tidak dapat mengucap kalimah syahadah ketika di ambang maut hanya kerana mengecilkan hati ibunya. Hati ibu yang penuh kerinduan ingin makan bersama anak....dimasaknya masakan kegemaran anak dengan niat untuk makan bersama. Tetapi sampai di rumah, masakan ibu diletakkan di dapur, dimakan masakan isterinya. Aduhaiiiii....macam cerita si Tenggang.

         Berapa ramai isteri tidak mahu pulang beraya di rumah ibu suami mereka? Kalau pulangpun berapa hari sahaja jika dibandingkan dengan beraya di rumah ibunya sendiri. Ibunya pula tidak menegur prilaku anaknya. Mungkin cetek juga ilmu agamanya.  Mungkin juga dirinya sendiripun berbuat begitu juga pada suaminya. 

          Tetapi ada juga anak-anak yang taat kepada ibu mereka. Lelaki yang ku kenal ini tiada pangkat  sedikitpun. Aku sendiri hairan kenapa lelaki secantiknya tidak ada jodoh. Rupanya kerana taat pada ibu. Dia kuatir jika kawin nanti isterinya tidak dapat menerima dan melayani ibunya dan dia tidak dapat berlaku taat pada ibunya. Selagi ibunya tidak makan, dia sendiripun tidak makan. Hari-hari aku lihat dia membungkus makanan untuk ibunya. Subhanallah.

         Lelaki yang aku kenal ini adalah di antara lelaki yang sukar dijumpai ketaatan mereka adik beradik pada ibunya. Bila malam nak tidur, ibu dikelilingi oleh ke lima-lima anak lelakinya. Seorang picit kaki, seorang picit kepala, seorang picit tangan. Disapunya minyak panas. Diurut dan diusap-usap ibu mereka. Dipakai setokin.  Sudah siap dicium tangan ibunya, beri salam dan minta izin untuk keluar tidur. Sepanjang hidup ibu mereka, tidak pernah sekali menantu perempuan beraya di hari pertama di rumah ibubapa mereka masing-masing. Hebat!


         Syurga itu adalah untuk hamba-hamba Allah yang istimewa. Tersangat istimewa hingga ia menjadi rahsia Allah. Jalan menunggu ke syurga Allah penuh duri dan onak. Perlu pengorbanan jiwa. Allah tahu susahnya seorang isteri untuk taat kepada suami kerana nafsunya 9 dan Allah juga tahu sulitnya seorang lelaki untuk taat kepada ibunya kerana isteri yang dicintai...maka itulah tebusan Allah untuk memiliki syurga firdausiNya. Mampukah kita memberi tebusan itu pada Allah?


           Mudahkah seorang lelaki untuk taat pada ibunya yang tua kereput, bila di hadapanya tersenyum simpul seorang isteri jelita, berpangkat, bergaya serta dikelilingi anak-anak yang comel? Keengganan untuk melayani keperluan isteri itu lebih digeruni daripada ibu tua yang tidak berdaya. Hanya diam seribu bahasa, menyimpan segala duka demi kebahagiaan anaknya. Mulut isteri yang akan mencampaknya ke neraka lebih ditakuti dari mulut ibu yang berbau syurga.

            Begitu juga kaum perempuan. Bukan mudah untuk taat pada suami. Jika suami kita macam Datuk Harun Din atau  Datuk Fadzilah Kamsah, mungkin senang untuk berlaku taat. Tapi jika punya suami seperti itu, tiada dugaan ke syurga. Masakan Aisyah bersuamikan Firaun, tebusan syurganya. Kasihsayang suami amat direbuti. Usahkan untuk dikongsi dengan perempuan lain...dengan ibu suami kitapun kita tidak bermahu berkongsi. Betapa tamaknya kita dengan kasihsayang itu. Ya Allah....kenapalah aku begitu tamak dan mahu monopoli kasihsayang suamiku? Kenapalah hatiku hitam dan busuk...hanya cemburu dan takut berkongsi kasih? Apalah erti kasihsayang dan cinta aku ini jika ianya mencampakkan suamiku ke dalam neraka? Aku tahu semuanya itu...Ya Allah. Tapi kenapa cemburuku mengasak... Salahkah aku? Sedangkan di sekelilingku...di mana-mana. Malahan yang bertitle alim ulamakpun tidak mampu...bagaimana aku Ya Allah...yang jahil lagi hina ini?



Doa Untuk Menjadi Isteri Solehah
Ya Allah..
Kau ampunilah dosa ku yang telah kuperbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran Mu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan
Ya Allah…
Sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di Dunia Mu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya
Tetapi ya Allah…Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya suamiku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena
Ya Allah…Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusanBimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhirat Mu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu
Ya Allah…Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbingan MuAku cacat tanpa hidayah Mu
Aku hina tanpa Rahmat Mu
Ya Allah…Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama Mu
Bimbinglah aku menjadi isteri Solehah
Hanya pada Mu,
Ya Allah…
Ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaan Mu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniaMu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran Mu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian Mu
Ya Allah Tuhanku…….
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa dihati
Amin, Ya Rabbi Allamin…….






2 comments:

  1. Amin.....mudah2an kita akan menjadi isteri solehah. Mmg bukan mudah nak tempuh cabaran sbg isteri, menantu, ipar, anak dlm hidup berumahtangga ini. Kdg kala tewas juga tapi akk selalu mohon pd Allah agar mempunyai hati yg penuh kasih syg.

    ReplyDelete
  2. Amin. Terima kasih email yang diberi. Insya Allah saya akan mohon pada Allah agar hati saya subur dengan kasihsayang. Thanks. Love you Zana.

    ReplyDelete