Tuesday, August 21, 2012

Syawal yang mengamit rindu...



Ketika takbir raya bergema, memenuhi ruang rumah pusaka ini, terasa ada sesuatu yang hilang di fajar ini. Ingatanku menjadi semakin kuat dan jelas, apabila aku menyarung  sepatu baru. Sepatu biru bertumit tinggiku tiada dalam pandangan, cuma yang jelas ada sepasang tangan menyarung sepasang selipar choklat ke kaki ini.

Baju rayaku dibuat daripada kain cet 50 sen seela. Kerana tidak kecukupan kain, ibuku jahit bajuku ala Kumari. Bagi mereka yang pernah baca buku Bahasa Melayu dulu, pasti tau paten baju Kumari. Setelah baju itu aku pakai dengan hati yang gembira, arwah ayahandaku hilang di kegelapan pagi dan pulang dengan selipar getah berwarna coklat. 

Dipanggilnya aku dengan lembut sambil berkata dalam nada memujuk,

 'Sa..pakailah selipar ni ya? Nanti bila Bak ada duit, Bak beli yang lebih baik.'

Ketika itu hatiku sayu. Kesayuanku bukan kerana tidak dapat sepatu cantik yang lebih baik tetapi sayu kerana usaha ayahanda untuk mengadakan sesuatu buatku di hari raya. Walaupun ketika itu aku di sekolah rendah, aku sudah mengerti pengorbanan arwah ayahandaku.

Dengan riang ria, aku berjalan, menziarahi saudara maraku. Tetapi kerianganku tidak lama. Sampai saja di tangga rumah saudaraku, kata-kata saudaraku menyentap hati naluriku.

'Begini pakaian kau, Sa. Takkan tak mampu sangat bapak kau tu. Dibelinya selipar plastik!'

Sepanjang jalan aku menangis. Arwah ayahandaku menyambut kepulanganku dengan tandatanya. Apabila diceritakan padanya, sedikitpun tiada wajah kemarahan atau tersinggong. 

'Sa...usah menangis dengan hinaan seperti itu. Tebus kemiskinan ini dengan ilmu. Dengan ilmu sajalah, kita mampu menjadi manusia yang lebih baik. Mereka yang ketawa dan ejek kamu, lihatlah apa yang mereka akan jadi suatu hari nanti. Jika hari ini kamu menangis, suatu hari nanti mereka akan lihat wajah gembira dan bahagiamu. Jadi belajarlah!'


Sejak itu, aku kehilangan minat untuk menyambut raya. Tiada baju raya mahupun sepatu baru. Persiapan raya hanya buat anak-anak saja. Ada juga adik-adik berbunyi. Tiada kerongsang di dada. Secalit make-up penyeri wajahpun tiada. Pakai baju kerja itulah baju rayaku.

Tahun ini kali pertama, aku menyediakan pakaian raya yang istimewa. Namun ingatanku pada Syawal itu tidak akan hilang selagi hayat dikandung badan. Malahan setiap kali Syawal menjelang, ingatan itu akan datang, kerinduanku pada arwah ayahandapun mula bertandang.

Al Fatihah buat ayahandaku tercinta.
Moga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang soleh.

No comments:

Post a Comment